Tuesday 29 November 2011

Ciri-ciri kreatif dalam Pendidikan Seni

Seseorang artis atau tukang dikatakan sebagai insan yang mempunyai daya kreatif, imaginatif dan nilai estetik yang tinggi. Pendidikan Seni bukan bertujuan untuk melahirkan ramai artis tetapi melatih dan mendidik pelajar agar dapat membentuk sahsiah yang positif dengan memiliki sifat-sifat kreatif sepertimana yang terdapat pada diri seseorang artis yang unggul.

Seseorang artis yang unggul seharusnya memiliki sifat-sifat seperti:

1) Daya Persepsi yang Tinggi
    - Mereka peka, berkeupayaan dan gemar kepada:
      *   Melihat kekuatan, nilai dan makna pada objek dan alam.
      *   Mendengar 'bunyi kehidupan' di sekeliling mereka.
      *   Sedar tentang apa yang dirasa dan disentuh
      *   Peka kepada bau yang dihidu

2) Daya Membina Idea Sendri
      *   Memberi 'nafas baru' dan kesinambungan terhadap perkara silam atau isu lama.
      *   Membina, mencipta dan menghasilkan sesuatu.
      *   Mencuba cara atau teknik baru.
      *   Memanipulasi idea dengan pelbagai cara, secara tidak lazim atau berlainan dari kebiasaan perlakuan.
      *   Mencuba dan meneroka pelbagai pendekatan dan bahan.
      *   Menyelesaikan masalah dengan cara sendiri
      *   Berimaginasi tinggi- melangkaui batas pemikiran biasa.

3) Suka Mencuba, Meneroka dan Mencari Sesuatu yang Baru
      *   Menggunakan cara-cara baru inventif menghubungkan idea dan imej.
      *   Mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang berlainan dari kebiasaan.
      *   Berimaginasi dan berdaya mewatakan sesuatu.
      *   Berfikiran tulen dan asli (originality)

4) Suka Mengkaji dan Menyelidik
      *   Dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan
      *   Menganalisis data maklumat tentang apa yang dialami
      *   Bertanya dan mencari penjelasan
      *   Mencari penemuan baru mengenai hubungan antara idea dan bahan

5) Peka terhadap Nilai Estetik
      *   Tertarik terhadap nilai keindahan, kecantikan, keunikan, kelainan dan keharmonian pada objek, alam   
           dan kehidupan.
      *   Dapat merasakan nilai rentak, irama dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan.

6) Keyakinan Diri
      *   Menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan
      *   Berdikari
      *   Mempunyai kekuatan perasaan dan emosi serta dapat membuat penyataan diri

APA ITU KREATIVITI?

Kreativiti merupakan anugerah tuhan kepada semua tetapi kita abaikannya. Kreativiti adalah penting dalam apa sahaja yang kita lakukan seperti hiasan, persolekan, jamuan perniagaan dan lain-lain. Kita boleh belajar berfikiran kreatif melalui pemerhatian dan boleh menerangkannya. Kita berfikir luar dari kotak pemikiran yang biasa. Adakah cara kita bertanya untuk boleh menjadikan seseorang itu berfikiran kreatif? Cara kita bertanya boleh menukarkan cara kita berfikir (mindset). Ia mengajar kita bagaimana sesuatu input (sama ada rangsangan deria atau maklumat) dapat diterangkan dan terbentuk dalam imageri dan minda seseorang untuk menerima maklumat.Beberapa orang bijak pandai dalam bidang ini telah berjaya menukar gaya berfikir pendidik tentang kreativiti. Salah seorang daripadanya ialah John Dewitt. Beliau telah berjaya menyedarkan para pendidik bahawa kita semua mempunyai daya pemikiran yang kreatif. Walau bagaimana pun perlu diingat bahawa aspek kreativiti sahaja tidak mencukupi. Sumber kreativiti berada di hadapan kita. Kita hanya perlu tekun memerhati untuk mengenalinya. Kadang-kala sumber kreativiti berada di belakang kita. Apa yang perlu kita buat ialah hanya menoleh ke belakang sahaja.

Kreativiti mempunyai tahapnya tersendiri dan bergantung kepada rangsangan yang berbeza yang kita terima dalam kehidupan kita (Hopkins, 1937 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001). Darjah kreativiti juga bergantung kepada perkembangan perwatakan individu. Sumber kreativiti ada disekeliling kita. Ada antaranya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita (Fomm, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001). Mengapa kita gunakan kreativiti orang lain sedangkan kita mempunyainya? Adakah anda sukakan subjek Sains? Sastera? Sejarah? Drama? Cerita Rekaan? Terdapat banyak subjek yang boleh disesuaikan untuk memberi kesan yang istimewa khususnya dalam bidang kita sebagai pensyarah iaitu untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bagaimana pula dengan pengalaman kehidupan? Pernahkah berlaku sesuatu perkara dalam kehidupan kita yang pelik, menggelikan atau mencuit hati? Cerita-cerita yang menyentuh hati dan perasaan melalui bacaan boleh memberi kesan mendalam ke atas pemikiran kreatif kita. Mungkin kita boleh menggunakan cerita yang melucukan ini dalam pengajaran dan pembelajaran supaya ia menjadi lebih berkesan lagi.

Sebagai manusia, kita biasanya lebih selesa dengan mengekalkan amalan pemikiran yang rutin. Untuk menjadi kreatif, sifat ini perlu dikikis untuk menghasilkan karya yang baru melalui sumber-sumber di sekeliling kita. (Rogers, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001). Pengalaman kehidupan ahli keluarga boleh dijadikan sumber rangsangan kreativiti. Ibu bapa, sepupu, rakan-rakan dan lain-lain mempunyai cerita yang menarik bagi mewujudkan pemikiran yang kreatif. Mungkin kita telah mendengarnya berkali-kali tetapi kurang menjadikannya sesuatu yang boleh diadaptasikan sebagai bahan untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan atau dijadikan satu rutin. Dalam teori ‘pemikiran gila-gila’ oleh William Balake, dalam Mohd. Yusof (1995) idea baru atau celik akal berlaku dengan cara imaginasi dan bukan menerusi proses logik atau rasional. Beliau menganggap bahawa berlakunya pertarungan unsur-unsur yang bertentangan dalam minda akan membentuk pertarungan mental. Pertarungan ini akhirnya akan menghasilkan perdamaian dan suasana harmoni yang positif yang menghasilkan krfeativiti. Salah satu daripada sumber kreativiti ialah merujuk kepada kepakaran seseorang. Banyak buku yang boleh memberi sumber pemikiran yang kreatif yang tidak boleh dibayangkan banyaknya.

Oleh yang demikian kreativiti tidak boleh dipaksa. Kita memerlukan ketenangan dalam mencari idea yang kreatif. Sekiranya kita dalam keadaan tertekan disebabkan kita terpaksa membentangkan sesuatu dalam jangka masa yang pendek kita mungkin akan gagal. Dengan beberapa pengecualian, kreativiti boleh terhasil dalam keadaan kita tertekan dan menghasilkan sesuatu yang baik. Dari itu sentiasalah menulis sesuatu idea apabila terfikirkannya walaupun terjaga di tengah malam dari tidur. Jangan kita fikirkan bahawa anda akan ingat sehingga esoknya jika tidak menulisnya. Sekiranya anda tidak mencatatnya anda akan lupa. Fikiran kreatif boleh datang pada bila-bila masa. Dari itu kita perlu sentiasa bersedia. Confucius pernah berkata bahawa dakwat yang tidak terang adalah lebih baik dari fikiran yang tajam. Sebagai manusia biasa kita yang tidak dikurniakan dengan kreativiti dan bakat yang tinggi. Kita perlulah bekerja keras untuk mencapai kreativiti tahap ini untuk mendapat hasilnya (Maslow, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001). Walau bagaimanapun kita hidup dalam dunia yang perlu diberikan kepuasan segera (instant gratification). Keadaan ini akan menjadi lebih ‘teruk’ lagi jika kita berkehendakkan sesuatu itu dengan percuma dan segera. Pada hakikatnya ini bukanlah cara yang sesuai dan efektif.

Terdapat berbagai tahap kreativiti. Kreativiti tahap tinggi boleh membentuk sesuatu yang baru dari yang lama. Sebagai contoh pergerakan tangan yang lincah dalam silap mata, prinsip menyembunyikan sesuatu, kaedah mengubaharah dan lain-lain merupakan alat untuk dimanipulasikan melalui kreativiti. Gabungan dari perkara ini merupakan satu idea dan kita akan menjadi lebih kreatif dalam silap mata. Justeru itu, kemahiran ini dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih menarik. Perkara ini bukanlah mudah untuk dilakukan. Kreativiti dalam tahap ini sebenarnya datang dari pemerolehan pengetahuan melalui susunan, urutan asas untuk membentuk sesuatu yang baru. Sesiapa yang membentuk kemahiran ini mempunyai taakulan yang kreatif. Kreativiti merupakan kombinasi jumlah pengalaman saya sebagai pensyarah bukan sahaja mengajar tetapi juga melalui pendengaran, pemerolehan pengetahuan saya.

Kreativiti dalam diri individu itu sentiasa berkembang sekiranya individu itu mahukannya berlaku dan menjadikannya sebagai satu gaya hidup (Rogers, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001). Dalam bidang pendidikan ‘pengetahuan sintesis’ merupakan pengetahuan yang diperoleh secara separa sedar yang diaplikasikan dalam setiap situasi yang dianggap berguna bagi orang lain. (Plesk, 1997) Kreativiti yang sebenar dalam keadaan apa pun adalah berdasarkan sintesis pengetahuan yang diaplikasikan dalam situasi baru atau pemasalahan. Ini merupakan langkah akhir dalam perkembangan individu dan berkembang melalui penggunaannya dan akan hancur sekiranya dibiarkan begitu sahaja.